KUNAK: Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) menggesa agar kerajaan mencari dan melaksana kaedah berkesan untuk mengelak ketirisan berlaku terhadap minyak masak bersubsidi disebabkan gangguan bekalan terhadap produk itu sejak kebelakangan ini.
Presidennya, Nordin Thani berkata Persatuan Barisan Pengguna Sabah menerima beberapa aduan daripada pengguna yang tinggal di daerah Kunak dan Semporna mengenai kekurangan minyak masak bersubsidi dalam pasaran tempatan.
“CFOS difahamkan sebuah kilang untuk memproses dan membungkus minyak masak subsidi berpaket 1 kilogram yang terletak di Kunak bertanggungjawab membekal minyak masak berkenaan untuk pasaran di dua daerah yang dimaksudkan.. tetapi sehingga hari ini bekalan didapati masih berkurangan malah ada premis yang tidak menjual produk jenama minyak masak tempatan itu.
“Keadaan ini seolah-olah kilang tersebut tidak lagi membekal minyak berpaket ataupun bekalan terpaksa dikurangkan atas sebab kos operasi yang tinggi yang tidak mampu untuk memperolehi keuntungan besar bagi menampung kos-kos pengeluaran yang berkaitan”, katanya mengulas isu kehabisan minyak subsidi jenama ‘Sayang’ di pasaran di Kunak dan Semporna ketika ini yang disiarkan Harian Ekspres pada Ahad.
Advertisement





