Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 50 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, empat tahun lalu.
Penganggur, Noredi Abu Bakar mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan melakukan perbuatan itu ke atas kanak-kanak itu pada awal September 2020, di dalam sebuah kereta di kampung Tuaran.
Kesalahan itu, di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Al-Hakim Abdul Razak ketika memohon tarikh sebutan semula tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.
Peguam Muhamad Amirul Amin yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin lebih rendah atas alasan tertuduh mempunyai sedikit masalah mental dan mempunyai temu janji tetap di Hospital Mesra di sini.
Amir menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula dan menawarkan tertuduh ikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM5,000 beserta dua orang penjamin dan melaporkan diri di Balai Polis Tuaran sebulan sekali.