Tuaran: Sebanyak 134,794 pokok telah ditanam di seluruh Sabah setakat ini dalam usaha untuk mencapai sasaran penghijauan negeri iaitu melalui penanaman sebanyak 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033.
Pembantu Menteri I Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih, dalam kenyataan media, berkata kesemua 134,794 pokok itu ditanam melalui pembangunan di kawasan perumahan, komersial, industri, taman-taman awam dan kawasan hijau yang lain.
“Angka ini masih terlalu rendah untuk kita banggakan. Oleh itu, saya menyeru kepada semua terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mempergiatkan usaha dan program kemasyarakatan bagi menyuntik semangat hijau di kalangan masyarakat demi mencapai sasaran yang ditetapkan Kementerian ini iaitu 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033 bagi Negeri Sabah,” katanya.