SANDAKAN: Masalah Sistem Pelesenan Kenderaan Perdagangan (I-SPKP) dalam talian akan diperhalusi dan diatasi setelah beberapa kelemahan dikesan.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Vivian Wong berkata, buat masa ini pengguna masih boleh ke cawangan untuk membuat permohonan secara luar talian sekiranya pendaftaran kenderaan perdagangan atas talian tidak berjaya.
Katanya ini termasuklah bagi permohonan baharu, membaharui, ubahsyarat, membatal serta mencetak permit.
Jelasnya, pihaknya dimaklumkan bahawa ramai pemohon tidak dapat menghantar permohonan mereka berikutan beberapa masalah antaranya pembayaran dan isu teknikal yang lain menerusi sistem I-SPKP.
“Namun, pengguna disarankan untuk menggunakan sistem atas talian dan hanya ke cawangan jika menghadapi masalah sewaktu membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan berkaitan daripada pegawai kita,” tambahnya.
Vivian berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga LPKP Sabah di Tawau.
Vivian yang juga Ahli Parlimen Sandakan berkata pihak pelesenan LPKP sedang giat membuat tindakan susulan menerusi kejuruteraan sistem.
“Kita akan membuat tindakan susulan untuk menyelesaikan masalah sedia ada dan memperhalusi lagi sistem supaya ia dapat memberikan kemudahan yang baik kepada kesemua pengguna sistem itu,” katanya lagi.