KENINGAU: Seorang wanita tempatan maut selepas suaminya didakwa menyimbahnya dengan petrol dan membakarnya di rumah mereka di Kampung Tinagalan, Sook, pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Keningau Superitendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.09 tengah hari Sabtu.
“Pada jam 3.45 petang Ahad, kami menerima makluman daripada pihak Hospital Keningau bahawa mangsa, Sansiah Binti Tinggian
(gambar), 41, disahkan meninggal dunia pada jama 1.41 petang hari yang sama,” katanya.
Menurut Yampil, siasatan awal mendedahkan bahawa sebelum kejadian mangsa dan suaminya telah minum minuman alkohol jenis tapai sejak sekitar jam 4 petang Jumaat di rumah mereka di Kampung Tinagalan.
Pada hari yang sama, kira-kira jam 10 malam, anak perempuan mereka yang berumur 16 tahun melihat ibu bapanya bertengkar mulut ketika dalam keadaan amat mabuk.
Semasa bertengkar, suspek didakwa mengugut hendak membakar isterinya, dan mangsa mencabar suaminya untuk berbuat demikian.
Suspek turun ke bawah rumah mengambil gelen berisi petrol, kemudian naik semula lalu didakwa menyimbah petrol ke badan mangsa. Dia kemudian didakwa menyalahkan mancis dan mencampaknya ke arah isterinya.
Berikutan kejadian itu, api merebak dan rumah mereka musnah terbakar.
Anak mereka yang menyaksikan kejadian itu berjaya membawa keluar dua adiknya yang sedang tidur semasa api mula merebak.
Jelas Yampil, anak mangsa itu juga cuba memadam api pada badan mangsa dan selepas api terpadam, dia cuba mendapatkan bantuan daripada pakciknya.
“Semasa mendapatkan bantuan, suspek membawa isterinya ke Klinik Sook untuk mendapatkan rawatan awal seterusnya dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, pada jam 1.41 petang Ahad pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” kata Yampil.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat.
Katanya, suspek kemudian direman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.