Kuala Lumpur: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan AirAsia bersetuju menghasilkan pelan perkongsian strategik yang bertujuan melonjakkan industri pelancongan Sabah ke tahap baharu.
Inisiatif ini lahir daripada perbincangan antara delegasi daripada STB diketuai pengerusinya Datuk Joniston Bangkuai, dan pasukan pengurusan AirAsia diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Bo Lingam di ibu pejabat korporat AirAsia di Sepang, pada Isnin.
Kedua-dua pihak bersetuju dengan pelan induk komprehensif 5-tahun dengan cadangan Memorandum Kerjasama (MoC) dimeteraikan selepas Tahun Baharu Cina.
Cadangan kerjasama itu akan merangkumi visi strategik untuk mempromosikan Sabah dan menarik kemasukan lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Satu pasukan pegawai kanan dari kedua-dua pihak telah ditugaskan untuk merangka MoC yang dicadangkan itu.
Pelan itu meliputi perluasan laluan antarabangsa dan potensi pembangunan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk memenuhi permintaan yang meningkat.
Pertemuan STB dan AirAsia itu adalah susulan perbincangan di antara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dengan pengasas AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes, baru-baru ini.
Selain Joniston, delegasi STB turut disertai ahli lembaga pengarahnya, Datuk Tan Kok Liang; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB, Julinus Jeffrey Jimit; Timbalan CEO STB, Tay Shu Lan dan Pengurus Pemasaran STB, Zarinah Amiludin.
AirAsia pula turut disertai Timbalan CEO Kumpulan, Datuk Chester Boo Chee Soon; Ketua Pegawai Komersial Kumpulan, Karen Chan dan Ketua Pegawai Pengurusan Hasil dan Perancangan Rangkaian, Paul Carroll.
Semasa pertemuan itu, Joniston dan Bo menekankan kepentingan sebarang perjanjian yang dicapai menerusi kerjasama itu akan memberi manfaat dan dapat dicapai oleh kedua-dua pihak.
“Fokusnya ialah mewujudkan kerjasama yang bukan saja menaikkan sektor pelancongan tetapi juga hubungan yang positif di antara Sabah dan AirAsia.
“Ini untuk memastikan apa saja kerjasama yang kita wujudkan akan memberikan manfaat yang jelas kepada industri pelancongan Sabah dan juga selaras dengan objektif strategik AirAsia,” katanya.
Sementara itu, Bo berkata, AirAsia merancang untuk memperkenalkan lapan laluan penerbangan baharu yang menghubungkan Sabah dengan destinasi lain sepanjang tahun ini.
Antara destinasi baharu yang dihubungkan melalui pengenalan laluan baharu syarikat penerbangan itu ialah Jakarta, Denpasar dan Manado di Indonesia, manakala Shanghai di China, diikuti Osaka (Jepun) dan Incheon (Korea Selatan).
Sepanjang 2023, Bo berkata AirAsia telah menerbangkan lebih 2 juta penumpang ke Sabah.
Beliau menyatakan keinginan AirAsia untuk bekerjasama rapat dengan Sabah dan mengulangi kesediaan AirAsia untuk menyokong inisiatif yang sejajar dengan kepentingan serta keutamaan Sabah.
Ketika ini, AirAsia mempunyai 12 laluan domestik dan sembilan laluan antarabangsa.
Laluan antarabangsa ialah Singapura, Manila, Taipei, Hong Kong, Guangzhou, Shenzhen, Wuhan, Beijing dan Hangzhou.
Pada Disember 2023, syarikat penerbangan tambang rendah itu mengendalikan jadual yang mengagumkan iaitu 51 penerbangan antarabangsa mingguan dan lebih 280 penerbangan domestik mingguan.