SANDAKAN: Pengusaha stesen minyak di daerah ini diingatkan untuk tidak menjual petrol RON 95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan, Azdy Zukkry John berkata tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat dalam kegiatan tidak bertanggungjawab tersebut.
Amaran itu dibuat susulan satu serbuan di bawah Operasi Tiris ke atas salah sebuah stesen minyak di bandar di sini.
Dalam serbuan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa KPDN Sandakan kira-kira jam 7.00 malam itu, sebanyak 1,175 liter minyak petrol RON 95 di dalam 47 unit jerikin dengan nilai rampasan berjumlah RM2,408.75 disita kerana dipercayai cuba untuk diseleweng.
“Pemeriksaan awal mendapati tiga lelaki yang berusia antara 14 hingga 41 tahun yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga asing tidak memiliki sebarang kebenaran atau permit untuk membuat pembelian petrol RON 95 sebanyak 625 liter yang terkandung di dalam 25 unit jerikin di stesen minyak berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas stesen minyak terbabit pula mendapati 550 liter minyak petrol RON 95 yang terkandung di dalam 22 unit jerikin disimpan di kawasan stesen minyak berkaitan,” katanya.
Azdy berkata siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek itu termasuk pengusaha stesen minyak terlibat.
Katanya lagi, ketiga-tiga lelaki itu akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Pengusaha stesen minyak pula akan disiasat di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjual minyak petrol RON 95 kepada ketiga-tiga suspek yang tidak memiliki sebarang kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Selain itu, pengusaha stesen minyak juga memiliki minyak petrol RON 95 sebanyak 22 unit jerikin yang terletak di kawasan stesen minyak terlibat,” katanya.
Azdy menegaskan KPDN Cawangan Sandakan akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan khasnya di bawah Operasi Tiris ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di daerah ini.
Jelasnya, ini bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang-barang berkenaan.