Kota Kinabalu: Persatuan Pengusaha Agensi Umrah dan Haji Sabah mengingatkan orang ramai yang ingin mengerjakan umrah supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej umrah yang tidak masuk akal.
Pengerusinya, Nor Azmi Abi Shafian berkata, harga lantai bagi pakej umrah yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) ialah RM6,900 bagi setiap seorang.
“Selain perlu mengenal pasti syarikat tersebut memiliki lesen dan berdaftar dengan Motac, jemaah juga perlu berhati-hati dengan harga pakej yang ditawarkan terutama yang murah dan tidak masuk akal.
“Harga barang naik dan ringgit jatuh, bagaimana dapat mengerjakan umrah dengan harga yang tidak masuk akal. Untuk pakej umrah, harga lantai telah ditetapkan dan setakat ini yang kami tahu Motac kekalkan RM6,900 untuk seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali Kedua persatuan itu di sini, baru-baru ini.
Katanya lagi, pengusaha atau syarikat yang menyediakan pakej umrah juga perlu memikirkan kos penerbangan dan penginapan untuk jemaah tersebut.
“Biasanya harga tiket penerbangan RM3,500 jadi kita kena fikir untuk pengurusannya seperti hotel dan penganggkutan di sana.
“Kalau harga pakej itu di bawah daripada harga RM6,900, kita kena fikir,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau juga meminta bakal jemaah di negeri ini supaya membuat semakan pada laman sesawang atau laman sosial syarikat yang menawarkan pakej umrah tersebut sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan belum ada kes penipuan berlaku membabitkan ahli persatuannya itu kerana lesen yang diperoleh tertakluk kepada undang-undang.
“Motac pun mengeluarkan garis panduan dan syarikat yang mempunyai lesen umrah juga berurusan sehingga ke Arab Saudi,” tegasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan semasa, Azmi berkata, persatuan tersebut bercadang menjadikan Sabah sebagai hub umrah untuk jemaah dari negara serantau.
“Kami mencadangkan kepada kerajaan negeri agar Sabah menjadi hub umrah bagi negara serantau seperti China, Korea Selatan, Filipina, Indonesia dan Brunei.
“Kita berpotensi kerana Lapangan Terbang Antabangsa Kota Kinabalu (KKIA) merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia dan mendapat kemasukan pelancong yang terbanyak selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Daripada sini kita melihat ada banyak penerbangan terus dari China, Korea, Filipina dan terbaharu Jakarta ke Sabah. Kita berwawasan untuk mengadakan perbincangan agar syarikat penerbangan mewujudkan laluan terus Kota Kinabalu ke Jeddah,” katanya.
Sehubungan itu, Nor Azmi berkata, cadangan yang dikemukakan itu adalah peluang terbaik untuk jadikan Sabah muncul sebagai hub umrah di rantau ini.