Kota Kinabalu: Langkah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menaikkan harga lantai bagi pembelian padi di Sabah dan Sarawak kepada RM1,300 per tan metrik berkuat kuasa Khamis, dijangka mampu menggandakan pendapatan pesawah di kedua-dua negeri itu.
Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata Bahagian Pembangunan Industri Padi Kementerian mengunjurkan pendapatan pesawah akan meningkat sebanyak 50 peratus setahun iaitu daripada RM6,681 sehektar kepada RM10,735 sehektar.
“Berdasarkan data Lembaga Pertubuhan Peladang, sebanyak 17,298 pesawah padi (bukan padi huma) akan mendapat manfaat daripada peningkatan pendapatan berikutan harga lantai belian padi baharu itu.
“Saya berharap ini akan menggalakkan lebih ramai penduduk tempatan menanam padi dan seterusnya meningkatkan pengeluaran Sabah,” katanya, selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 bersama agensi KPKM.
Ia disertai Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) dan agensinya di Bangunan KWSP, di sini, Khamis.
Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyeragamkan harga lantai bagi pembelian padi di Sabah dan Sarawak daripada RM900 kepada RM1,300, supaya selaras dengan harga di semenanjung.
Bagaimanapun, harga lantai baharu itu hanya terpakai kepada beras putih dan tidak termasuk beras istimewa atau tradisional yang dihasilkan di Sabah dan Sarawak.
Arthur berkata langkah itu akan memastikan industri padi di Negeri-negeri di Borneo kekal mampan dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Kementerian untuk meningkatkan pengeluaran beras Malaysia dan mengurangkan pergantungan kepada import.
Beliau berkata purata hasil padi di Sabah masih kurang memberangsangkan iaitu sekitar 2,882 tan metrik sehektar yang menyebabkan negeri ini bergantung kepada import.
“Ia diburukkan lagi dengan isu-isu termasuk bekalan benih tidak mencukupi, agihan bekalan baja tertangguh, tanah gembur, infrastruktur pertanian tidak lengkap seperti sistem pengairan dan saliran, serta rendahnya penyertaan belia (dalam industri),” katanya.
Sehubungan itu, Arthur berkata Kementerian akan merevolusikan mekanisme sedia ada dan merangka hala tuju baharu untuk industri padi negara, menggelarnya sebagai “Gelombang Padi”.
Beliau berkata 12 program akan dilaksanakan, termasuk memperkenalkan dasar baharu bagi Insentif Benih Padi Sah (IBPS) dan memperluaskan Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan, antara lain.
Terdahulu, Arthur menekankan empat fokus utama KPKM untuk 2024 iaitu industri padi, ayam dan telur, nanas dan bawang, dalam usaha mengoptimumkan keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata projek Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk menanam bawang merah akan diperluaskan ke Sabah apabila penanaman secara besar-besaran dapat dilaksanakan.
“Ini dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa perintis dan pengembangan. Projek peningkatan kemahiran penanaman bawang telah dilaksanakan pada 24 Januari lalu di kawasan seluas satu hektar di Kg Ladang Bikam, Sungkai, Perak.
“Apabila bekalan benih mencukupi, kita akan kembangkan ke seluruh negara termasuk Sabah.
“Kita akan tentukan tanah yang sesuai di Sabah untuk menanam bawang ini, supaya negeri ini juga boleh menyumbang kepada usaha keterjaminan makanan ini,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia bergantung sepenuhnya kepada import bawang dari negara seperti India, Belanda dan Thailand, mencatatkan jumlah import bawang sebanyak 685.4 ribu tan metrik bernilai RM1.58 bilion pada 2022.
Arthur turut berharap kerjasama antara KPKM dan MAFFI Sabah dapat diperkukuh bagi membangunkan tanah terbiar di Sabah dengan aktiviti pertanian agromakanan, bagi melonjakkan potensi negeri ini sebagai hab pengeluaran agromanakan negara.