LAHAD DATU: Tiga ekor buaya ditembak mati dalam operasi bersepadu yang dijalankan di beberapa kawasan di sini, pada Khamis.
Operasi itu dijalankan bersama oleh Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Ibu Pejabat Polis Lahad Datu, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, pasukan Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Majlis Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP Ahmad Ariffin berkata, operasi dijalankan di kawasan jeti PPM Lahad Datu, kawasan laut POIC, Sungai Sabah Baru, Kampung Puyut, Sungai Sapagaya dan Tabanak.
Katanya, operasi itu dijalankan bagi memastikan keselamatan orang awam agar bebas daripada ancaman reptilia tersebut di kawasan berkenaan.
Operasi itu juga bertujuan mengawal populasi buaya dan mengurangkan kes serangan ke atas manusia di daerah ini.
“Susulan operasi itu, tiga ekor buaya termasuk seekor berukuran 3.4 meter mati ditembak.
“Semua buaya ini kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ahmad berkata, sepanjang operasi itu, semua anggota pasukan sentiasa menitikberatkan keselamatan orang awam, harta benda, penggunaan senjata dan peluru.
Tambahnya, operasi yang berakhir jam 4 petang itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.