TAWAU: Seorang penjawat awam berusia 37 tahun didakwa di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah kerana menipu dengan memberikan butiran palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), lima tahun lalu.
Muhamad Rajis Muhid, penguatkuasa Gred 19 di Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga.
Rajis didakwa menipu Pengurus Pejabat Tempatan Perkeso Tawau, Joseph Immanuel dengan memberikan penyataan tidak benar mengikut Seksyen 12 C (2) dan (3) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 berhubung tinggal bersama dua anaknya, sekali gus mendorong Joseph meluluskan bayaran Faedah Tanggungan anak masing-masing bernilai RM9.1429 sehari.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kebajikan Sosial Tempatan Tawau pada 27 Mac, 2019.
Rajis didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga maksimum 10 tahun dan sebatan, dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 26 Mac untuk pengurusan kes dan membebaskan Rajis dengan ikat jamin RM10,000 deposit RM2,000 beserta seorang penjamin.
Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan dan diperintah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan.
Rajis yang tidak diwakili, memohon wang jaminan dikurangkan kepada kadar minimum memandangkan dia hanya menerima gaji bersih RM1,400 dan mempunyai komitmen lain seperti pembayaran pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan kereta.
Menurutnya, dia turut menanggung isteri dan anak serta adik-beradiknya yang tidak bekerja.