Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM474.55 juta pada tahun ini bagi memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan dan meningkatkan tahap pendidikan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Peruntukan itu antaranya untuk biasiswa dan dermasiswa, pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid, pembangunan badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian, operasi perpustakaan termasuk perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak di seluruh negeri serta pelaksanaan pelbagai program, latihan dan kursus kemahiran, katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan generasi akan datang yang cemerlang, berdaya saing, berpengetahuan dan berkemahiran.