Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 30 tahun meminta dibicarakan atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan menyebabkan ketakutan kepada bapanya.
Mohd Afran Sahiron membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali, ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Jumaat.
Dia didakwa mengugut untuk mencederakan bapanya yang berumur 55 tahun pukul 6 petang pada 27 Feb tahun ini di sebuah rumah di Kg Kepayan Luar, Jalan Simpur Kepayan, di sini.
Mohd Afran didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 2 April tahun ini untuk sebutan semula dan Mohd Afran ditawarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 dengan dua orang penjamin tempatan.
Timbalan Pendakwa Raya Ling Zhin Ling melakukan pendakwaan manakala peguam dilantik Lawrence Lim mewakili Mohd Afran.