Kota Kinabalu: Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah (IKSnita), Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata antara acara kemuncak sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini ialah IKS dan Persidangan Wanita Kepimpinan.
Ia akan menampilkan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, bersama beberapa pemimpin wanita lain, membincangkan kepimpinan wanita di Sabah.
“Anugerah Wanita Inspirasi 2024 akan disampaikan kepada 100 wanita dari seluruh Sabah, Sarawak, serta peserta dari Indonesia dan Singapura.
“Kami menjangkakan kira-kira 600 wanita menyertai persidangan itu, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),” katanya selepas kunjungan hormat kepada isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, di Istana Seri Kinabalu, baru-baru ini.
Tujuan lawatan itu adalah untuk menjemput Norlidah menghadiri dan merasmikan Majlis Hari Wanita Antarabangsa 2024.
Norlidah turut menerima kunjungan Pengerusi Kelab Wanita Ikon Malaysia Cawangan Sabah Asmah Kadir dan rombongannya.
Selain memperkenalkan kelab itu, Norlidah dijemput untuk berkhidmat sebagai penaung kelab tersebutdan memberi taklimat mengenai program Ramadan akan datang iaitu Karnival Ramadan Sabah.