Kota Kinabalu: Seorang duda berumur 26 tahun, yang dijatuhi hukuman penjara berjumlah 45 tahun dan 18 sebatan rotan atas tiga pertuduhan melakukan serangan seksual secara kejam terhadap teman wanitanya, gagal dalam rayuannya terhadap hukuman itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Rose Pandin menolak rayuan Stellee Kintoh pada Khamis selepas meneliti rayuannya dan daripada pihak pendakwaan sebagai responden.
Stellee merayu supaya hukuman penjara dan sebatan diringankan.
Zaleha ketika menyampaikan keputusannya berkata hukuman yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah wajar, tidak keterlaluan dan tidak memerlukan campur tangan rayuan.
“Selain itu, adalah wajar mahkamah ini tidak mengganggu keputusan mahkamah lebih rendah jika hukuman yang dikenakan adalah mengikut undang-undang dan dalam lingkungan undang-undang.
“Dalam rayuan ini, saya dapati hukuman itu dalam lingkungan undang-undang dan tidak boleh diganggu gugat. Di samping itu, pertimbangan utama harus diambil kira iaitu kepentingan awam.
“Melihat kepada tahap keseriusan kesalahan itu, hukuman itu sepatutnya menjadi pencegah.
“Rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Sesyen sepatutnya ditolak dan keputusan hakim Mahkamah Sesyen dikekalkan,” kata Zaleha.
Stellee dijatuhi hukuman itu pada 16 Nov, 2022 oleh Mahkamah Sesyen selepas dia mengaku bersalah melakukan jenayah itu terhadap mangsa berusia 21 tahun di dapur sebuah rumah di Kota Marudu pukul 7 pagi pada 12 April, 2022.
Bagi pertuduhan pertama, Stellee dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga kali sebatan rotan kerana melakukan seks oral terhadap wanita itu, manakala bagi pertuduhan kedua, Stellee dihukum penjara 15 tahun dan lima kali sebatan rotan kerana memasukkan empat jari kanannya ke dalam kemaluan mangsa tanpa persetujuannya.
Stellee bagi pertuduhan ketiga dipenjara 20 tahun dan diperintah dikenakan 10 kali sebatan rotan kerana merogol mangsa dan menyebabkannya ketakutan dan cedera.
Dia diperintahkan menjalani hukuman penjara itu secara serentak dari tarikh dia ditangkap.
Pertuduhan pertama didakwa di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, pertuduhan kedua mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun dan sebatan manakala pertuduhan ketiga didakwa di bawah Seksyen 376(2)(b) Akta sama yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun dan 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam dilantik Nabila Norsahar yang mewakili Stellee, antara lain berhujah bahawa hukuman dijatuhkan oleh mahkamah lebih rendah adalah nyata keterlaluan dan memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa dia tidak mempunyai rekod sabitan lampau dan ia adalah kesalahan pertamanya.
“Stellee menyesali kesalahannya dan mengakui bahawa kelakukannya yang gasang dan terlalu mengikut hawa nafsu membuatkannya gagal mengawal diri dan hilang pertimbangan yang membuatnya menerima nasib itu,” kata Nabila sambil menambah, sekiranya Stellee menjalani hukuman penjara selama 20 tahun, dia tidak dapat menikamti masa mudanya dan hanya kembali kepada masyarakat apabila dia berumur kira-kira 45 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Jessica Ombou Kakayun memohon rayuan itu ditolak dan hukuman disahkan dan dikekalkan.
“Setelah meneliti nota prosiding mengenai apa yang berlaku di mahkamah lebih rendah, kesukaran yang terpaksa dilalui mangsa, parut, pengalaman, perbuatan menyeksa dan keji yang tidak berkesudahan oleh perayu terhadap mangsa, hukuman sepatutnya dikenakan lebih tinggi dan dijalankan secara berturut-turut,” kata Jessica.
Perayu telah memasukkan objek berbeza ke dalam alat sulitnya, antaranya, puntung rokok, garfu, senduk nasi, pemegang gayung air dan terung, kata Jessica.
Stellee turut menampar dan menumbuk muka, dada dan perutnya, menggunakan batang penyapu untuk memukulnya, menggunakan seterika wap dan meletakkannya pada payudara kiri dan kaki kirinya serta menuang air mendidih ke atasnya, yang menyebabkan pelbagai luka melecur, mahkamah diberitahu.
Stellee turut menabur garam pada luka dan luka terbakar pada badan mangsa serta menyapu garam pada matanya serta memasukkan garam itu secara paksa ke dalam mulut dan mengarahkan mangsa menelannya, kata Jessica sambil menambah, Stellee turut menyembur alat penyembur racun serangga ke dalam alat sulit, mulut dan mata mangsa dan memukul kepalanya menggunakan barang tersebut.
Jessica berhujah mangsa trauma seumur hidup dengan perbuatan keji perayu yang turut disaksikan oleh anak lelaki perayu yang berusia enam tahun.
Jessica juga menghujahkan kepentingan awam menentukan hukuman yang dijatuhkan untuk mencerminkan betapa berat dan seriusnya kesalahan, hukuman yang dikenakan harus bertindak sebagai pencegah kepada perayu dan juga bakal pesalah lain daripada melakukan kesalahan sama.
Beliau seterusnya berhujah bahawa hakim mahkamah lebih rendah adalah tepat untuk menjatuhkan hukuman berat untuk menimbulkan ketakutan dalam fikiran mereka yang mempunyai pemikiran untuk melakukan kesalahan sedemikian.
Hukuman yang dijatuhkan adalah munasabah dan memandangkan ia tidak terlalu berlebihan dan tidak terlalu mencukupi, Jessica berhujah, sambil menambah, Hakim Mahkamah Sesyen telah mengambil kira bahawa perayu melakukan jenayah kejam terhadap mangsa yang memberi kesan kepada mangsa di mana dia sangat trauma dengan kejadian itu sehingga dia terfikir untuk membunuh diri dan tidak dapat tidur pada waktu malam dan dihantui mimpi ngeri sehingga dia kencing di atas katil setiap kali.