Kota Kinabalu: Enam ekor tenggiling dari Penampang, Tuaran dan Kota Kinabalu telah diserahkan kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) Jabatan Hidupan Liar Sabah bulan lepas.
WRU mengatakan, kebanyakan spesies terancam itu ditemui di kediaman, manakala ada yang ditemui ketika melintas jalan, dan seekor lagi merupakan mangsa serangan anjing.
Mujur, kebanyakan tenggiling yang diselamatkan itu tidak menunjukkan tanda-tanda ketidakselesaan atau kecederaan fizikal ketara, kecuali tenggiling yang diselamatkan di Kampung Kolopis, Penampang, yang ekornya cedera parah akibat digigit anjing.
“Mamalia bersifat pemalu ini kemudiannya diserahkan kepada pihak klinik Taman Hidupan Liar Lok Kawi untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut oleh pakar.
“Selepas beberapa hari menjalani rawatan, dua tenggiling jantan seberat 6.5kg dan 8kg dipulangkan dengan selamat.
“Yang lain akan menyusul tidak lama lagi sebaik doktor haiwan mengesahkan ia sihat,” menurut WRU di Facebook.
WRU memuji individu bertanggungjawab yang menghubungi mereka dan menyelamatkan tenggiling.
Ia mengatakan kesemua individu ini menunjukkan dengan cemerlang bagaimana seseorang yang bertanggungjawab akan bertindak apabila bersemuka dengan hidupan liar.