KINABATANGAN: Sebuah kedai di Ladang Morisem di sini musnah dalam kebakaran pada malam Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabatangan, Nurul Azlan Shah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 7.22 malam.
“Dalam kejadian tersebut, kedai berstruktur kayu dengan ukuran keluasan 60 kaki x40 kaki persegi 100 peratus terbakar.
“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam dan setelah memastikan tiada bahaya lain operasi ditamatkan jam 10.29 malam,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Dalam kejadian berasingan, sebuah Perodua Viva musnah dalam kebakaran manakala dua lagi kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Proton Preve terkena bahangnya dalam kejadian di Kg Mangkalinau, di Sandakan, pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Sainkui, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.19 malam sebelum menghantar enam anggotanya dan Bomba Bantuan ke lokasi sejauh 2km dari balai bersama sebuah jentera dan EMRS.
Operasi terkawal jam 12.01 pagi dan tamat sepenuhnya pukul 12.28 pagi.
Tiada mangsa dilapor terlibat dalam kejadian itu.