KENINGAU: Pejabat Kesihatan Keningau mengeluarkan empat notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kepada empat peniaga di bazar Ramadan di sekitar pekan.
Pegawainya, Dr Valentine Japulee Gantul berkata, notis dikeluarkan kepada peniaga kerana tidak mematuhi peraturan kebersihan seperti makanan dijual tidak bertutup, tidak memakai apron dan lain-lain yang berkaitan kebersihan.
Valentine berharap peniaga di bazar Ramadan agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan makanan dan diri seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kita berharap agar tiada lagi notis dikeluarkan sepanjang bazar pada bulan Ramadan ini,” katanya kepada media selepas meninjau bazar Ramadan di sekitar pekan, Khamis.
Beliau berkata salah satu tujuan pemantauan itu bukanlah untuk memberi notis tetapi bagi memastikan pengendali makanan di bazar membuat penjualan makanan dalam keadaan yang baik dan bersih.
“Dan semestinya tujuan utama kita adalah melindungi semua pembeli atau pengunjung agar dapat membeli makanan yang bersih,” jelasnya.
Mengenai cuaca panas ketika ini, Valentine turut mengingatkan pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan agar peka dengan kesihatan diri bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti strok haba.
Katanya, orang ramai perlu berhati-hati semasa menjalankan aktiviti pada keadaan cuaca panas ketika ini.