TAWAU: Dianggarkan sejumlah 10.79 kilogram (kg) dadah jenis methaphetamine bernilai RM356, 070 yang diseludup menggunakan servis kurier dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah pada 9 Mac lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, dadah yang disimpan di dalam sebuah kotak itu hanya meletakkan alamat penerima sahaja untuk tujuan 'self collect' dan perihal barang yang ditulis di kotak tersebut adalah peralatan memancing.
Menurutnya, modus operandi penyeludup adalah membawa dadah berkenaan menggunakan perkhidmatan penghantaran barang melalui jalan darat dari Kota Kinabalu ke Tawau.
Katanya, pihaknya berjaya merampas dadah itu dalam serbuan ke atas sebuah premis servis kurier di Jalan Bakau sekitar jam 12 tengah hari susulan maklumat aktiviti pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan itu.