Kota Kinabalu: Seorang anggota polis berusia 45 tahun didakwa atas lapan pertuduhan menerima rasuah bulanan untuk melindungi perniagaan syarikat pengurup wang berlesen.
Inspektor Liffindy Ziubin, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga, terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Bagi pertuduhan pertama hingga lapan, Liffindy didakwa menerima sejumlah RM4,000 daripada seorang individu antara Disember 2020 dan 2021 di mana dia menerima RM500 sebulan.
Kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda dari nilai suapan jika sabit kesalahan.
Liffindy yang ditahan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Balai Polis Tuaran, dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000, deposit RM5,000, dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah menetapkan 7 Mei untuk pengurusan kes.
Mahkamah juga memerintahkan pasport Liffindy, jika ada, diserahkan kepada mahkamah, dan melaporkan diri di pejabat SPRM dua kali sebulan.
Liffindy juga diberi amaran supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan sementara menunggu penyelesaian kes.
Pegawai Pendakwa SPRM Nur Sabrina Ali hadir untuk pendakwaan manakala Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye mewakili Liffindy.