KENINGAU: Sebanyak 14 pain darah berjaya dikumpul dalam program derma darah anjuran Unit Perubatan Transfusi Darah Hospital Daerah Keningau di gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Ria, di sini pada Sabtu.
Program derma darah dengan kerjasama Majlis Gereja tersebut diadakan setiap tahun sempena bulan Ramadan.
Ia bertujuan membantu stok darah di Unit Perubatan Transfusi Darah Hospital Daerah Keningau sentiasa cukup dari semasa ke semasa.
Menurut Pengerusi Majlis Gereja SIB Ria Alisther Sinteh, program ini sudah diadakan pada tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19 dan disambung semula tahun lepas.
Katanya, pihak gereja sentiasa bekerjasama dengan Unit Perubatan Transfusi Darah Hospital dalam penganjuran program seumpama ini.
Sementara itu pihak Unit Perubatan Transfusi Darah Hospital merakamkan penghargaan kepada pihak gereja atas kerjasama yang diberikan setiap kali penganjuran program.
Jurucakap pihak Unit Perubatan Transfusi Darah Hospital memaklumkan, unit tersebut memerlukan stok darah yang cukup setiap masa untuk keperluan rawatan pesakit yang memerlukan tambahan darah.
Pada hari sama, program derma darah turut diadakan di Pasaraya Bataras.