Kota Kinabalu: Seorang ahli geologi berusia 36 tahun, yang mendapat manfaat RM800,000 daripada empat pertuduhan mengangkut sisa konsentrat emas secara haram untuk diniagakan kepada tukang emas di Pahang, pada Khamis didenda RM32,000.
Edwin James, yang bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan di sini, mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles terhadap empat pertuduhan mengangkut sisa konsentrat emas tanpa Lesen Mengangkut Mineral yang sah untuk diniagakan kepada Kedai Emas Sri Hawa, di Raub, Pahang.
Edwin melakukan kesalahan itu di Stesen Bas Ekspres Inanam, di sini, pada awal 2020, Oktober 2021, Mei 2022 dan Disember 2022.
Lovely memerintahkan Edwin membayar denda RM8,000 atau penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan.
Setiap pertuduhan di bawah Peraturan 6(1)(c) Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016 boleh dihukum di bawah Peraturan 6(5) Peraturan yang sama, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Al-Hakim Abdul Razak ketika membentangkan fakta kes berkata pada penghujung 2019, Edwin dihubungi Brando yang bertanyakan sama ada Edwin mempunyai kenalan yang boleh membantu memproses sisa lombong emas.
Hasil perbualan antara mereka, Brando mengambil sisa konsentrat emas dari lombong emas di Bukit Mantri, Tawau dan menghantarnya dengan bas kepada Edwin, yang kemudian mengambilnya di stesen bas ekspres Inanam, di sini.
Edwin kemudiannya membawa sisa konsentratemas itu ke Kuala Lumpur melalui udara dengan meletakkannya ke dalam kotak yang dilabel sebagai sampel batu dan memasukkannya di dalam kargo, mahkamah mendengar.
Sebaik tiba di Kuala Lumpur, Edwin menyewa kereta dan memandu ke Raub, Pahang bersama sisa konsentrat emas itu.
Edwin kemudiannya berjumpa dengan pemilik Emas Sri Hawa di Raub dan bertanya sama ada dia ingin membeli emas mentah.
Selepas kedua-dua pihak bersetuju, Edwin menyerahkan sisa konsentrat emas kepada pemilik tukang emas itu.
Mahkamah mendengar bahawa Edwin telah membawa sisa konsentrat emas untuk diniagakan kepada pemilik tukang emas sebanyak empat kali pada penghujung 2020, Oktober 2021, Mei 2022 dan Disember 2022.
Semakan dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mendapati Edwin tidak mempunyai lesen untuk mengangkut sisa konsentrat emas itu, kata pihak pendakwaan.
Peguam Chin Tek Ming, yang mewakili Edwin memohon denda dan mencadangkan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan tiada hukuman penjara dikenakan kerana ia merupakan kesalahan pertamanya, bahawa dia menyesal dan mengaku bersalah pada peringkat pertama.
Chin berkata ia adalah kes lama di mana Edwin bekerja di Tawau dan tiada kaitan dengan syarikatnya sekarang dan dia mungkin diberhentikan daripada pekerjaannya sekarang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Tambah Chin, Edwin yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak mempunyai banyak komitmen.
TPR Al Hakim menggesa mahkamah mengenakan jumlah setimpal ke atas Edwin dengan berhujah bahawa berdasarkan siasatan mereka dia telah mendapat manfaat RM800,000 daripada aktiviti tersebut.
“Jika mahkamah mendendanya RM5,000 seperti yang dicadangkan oleh peguam bela, saya percaya jumlah itu adalah minimum dan tidak akan memberi pengajaran kepada tertuduh,” kata Timbalan Pendakwa Raya Al-Hakim.
Edwin membayar denda itu.