SANDAKAN: Lebih 1,000 pengunjung hadir dalam program Iftar Madani @Batu Sapi 2024 di Jalan Coastal, Tembok Sandakan, pada petang Sabtu.
Program Iftar beramai-ramai ini merupakan julung-julung kalinya diadakan di luar daripada Kuala Lumpur iaitu di Sandakan, Sabah.
Program ini merupakan salah satu pendekatan yang positif dalam memupuk nilai-nilai murni dan jati diri kepada masyarakat bandar dan khususnya generasi muda contohnya melalui aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk, program sukarelawan dan agihan bubur lambuk kepada golongan asnaf dan gelandangan.
Antara aktiviti kebudayaan dan kesenian Islam yang telah disusun untuk pengunjung dan orang ramai selain majlis Iftar secara terbuka adalah jualan bazar ramadan, agihan bubur lambuk, ceramah dan forum agama, solat terawih berjemaah, persembahan nasyid dan qasidah oleh Sekolah Tahfiz dan Sekolah Pondok serta artis tempatan, Fiq Mentor.
Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Turut hadir Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang mewakili Ketua Setiausaha Motac, Mohd Amran Mohd Haris dan beberapa pemimpin tempatan yang lain.