TAWAU: Seorang Penolong Pengurus Besar sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa atas empat pertuduhan salah guna harta syarikat iaitu sisa konsentrat emas di antara awal 2020 hingga Disember 2022 lalu.
Brando Pang Tze Chiang, 49, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang disebut secara berasingan, masing-masing di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin dan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Mei 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.