Kota Kinabalu: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, mengumumkan pembayaran dividen Bank Rakyat bagi tahun kewangan 2023 sebanyak 15 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM424.62 juta.
Beliau berkata, pembayaran dividen kepada anggota akan dilakukan hari ini (Jumaat).
“Prestasi kewangan memberangsangkan ini membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai ganjaran kepada semua anggota dan pihak berkepentingan Bank Rakyat untuk sokongan berterusan mereka.
“Bersempena Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70, Bank Rakyat juga mengumumkan dividen istimewa sebanyak dua peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.62 juta dan akan diagihkan berdasarkan pegangan saham yang layak pada 31 Disember 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman dividen dan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, di sini pada Jumaat.
Menurut Ewon, pembayaran dividen istimewa itu akan dilakukan pada September 2024 sempena sambutan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70.
Dalam pada itu, Ewon berkata umpulan Bank Rakyat akan meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM35.47 juta disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM17.74 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.
“Jumlah sumbangan bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM53.21 juta,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua anggota dan pihak berkepentingan atas sokongan yang diberikan kepada Kumpulan Bank Rakyat sepanjang tahun ini.
“Bank Rakyat mempamerkan prestasi cemerlang dan terima kasih atas kerjasama serta sokongan yang diberikan.
“Saya sentiasa mengalu-alukan segala kerjasama dan usaha positif ke arah meningkatkan ekonomi dan kewangan kita,” katanya.