KUNAK: Seorang lelaki berumur 39 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Vigo mengalami kecederaan di kaki selepas kenderaan yang dipandunya terbabas ke dalam gaung di KM23 Jalan Kunak - Lahad Datu, pada Ahad.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat JBPM Kunak Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.19 petang menerusi talian MERS999.
Sepasukan lima orang anggota diketuai Komander Operasi PBKII Rosman Gari ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera FRT dan kenderaan EMRS.
“Setiba di lokasi kejadian, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang mengalami kecederaan di kaki menggunakan peralatan khas.
Kenderaan itu didapati terbabas ke dalam gaung sedalam lima meter”, katanya.
Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulan KKM.
Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 2.17 petang.