RANAU: Gerai Jualan Prasyawal anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di daerah ini dari 3 April dan berakhir hari ini (Selasa) menjadi lubuk rezeki buat 19 usahawan industri asas tani (IAT).
IAT menyertai program tersebut dengan mempamer dan menjual ratusan jenama produk biskut raya mereka sendiri pada harga berpatutan.
Pegawai Fama Ranau, Mohd Rahman Rafael Raya ketika ditemui berkata tapak jualan di pekan Ranau dibuka dari pukul 8 pagi hingga 4 petang setiap hari.
“Setiap tahun menjelang Ramadan, Fama memberi ruang dan peluang kepada usahawan berdaftar dengan Fama di daerah ini terutama kepada mereka yang mempunyai bengkel membuat biskut sendiri,” katanya.
Tambahnya, dengan kemahiran yang ada, usahawan berjaya meningkatkan pendapatan dan ruang ekonomi baharu.
“Usahawan termasuk yang mendapat latihan atau kursus daripada Jabatan Pertanian, Peladang, Mardi dan agensi lain akan diberi peluang,” jelas Mohd Rahman.
Menurutnya, ramai usahawan IAT berminat untuk melibatkan diri bagi menjual produk masing-masing namun terhalang kerana ruang tapak di Gerai Prasyawal terhad.
Turut hadir di tapak gerai Prasyawal ialah Pegawai Unit Pemasaran Industri Asas Tani Ranau, Hasin Abas.