SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) perlu bertindak segera dalam mengatasi masalah kehabisan stok kupon parkir kereta 25 sen dan 50 sen.
Timbalan Ketua Bahagian Warisan Sandakan merangkap Pegawai Khas AdunN.55, Alex Wong berkata kehabisan stok kupon itu sudah berlangsung selama beberapa bulan.
“Kupon letak kereta 25 sen dan 50 sen kehabisan stok dan orang ramai tidak dapat membelinya sejak beberapa bulan yang lalu.
“Ini menyebabkan pemilik kereta dan pengguna bimbang sekiranya mereka akan didenda oleh MPS kerana tidak meletakkan kupon parkir,” katanya.
Katanya, ramai pemilik kereta mengadu bahawa mereka terpaksa membeli dan menggunakan kupon parkir RM2 walaupun mereka hanya mengendalikan urusan di bandar kurang dari satu jam.
Hal sedemikian menimbulkan kekecewaan pengguna kerana mereka terpaksa menanggung beban kewangan tambahan.
Alex juga mengkritik MPS kerana masih belum menjelaskan atau mengumumkan secara rasmi isu kahabisan stok kupon tempat letak kereta dan tidak membuat penjelasan sama ada pemilik kereta perlu meletakkan kupon parkir dalam tempoh ini.