Kota Kinabalu: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah telah mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengendali bas yang didapati melanggar peraturan kapasiti penumpang, mencerminkan komitmennya untuk menegakkan standard keselamatan dalam sektor pengangkutan awam.
Tindakan itu dibuat selepas Pengerusi LPKP Vivian Wong mengambil maklum laporan Harian Ekspres yang mengetengahkan kebimbangan mengenai bas perjalanan jauh yang lebih muatan.
Sebagai tindak balas, beliau mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk segera menyiasat perkara itu.
“Siasatan ini bagi mengenal pasti syarikat dan bas yang beroperasi melebihi kapasiti penumpang yang dibenarkan,” kata Wong dalam kenyataan, Jumaat.
“Lembaga Pelesenan, sebagai agensi yang bertanggungjawab, telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat itu untuk mengelakkan amalan berbahaya seperti itu berulang,” katanya.
LAPORAN kami pada 15 April baru-baru ini.
Tindakan tegas itu susulan aduan penumpang yang melakukan perjalanan jauh dengan bas dari Tawau ke Sandakan baru-baru ini, yang menggesa pihak berkuasa meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terutama pada musim perayaan.
Kebimbangan mereka timbul selepas mengalami perjalanan yang tidak selesa dan berbahaya dalam bas yang lebih muatan, menjejaskan keselesaan dan keselamatan.
Wong melahirkan rasa terima kasih kepada orang ramai kerana melaporkan pelanggaran tersebut dan menggalakkan kewaspadaan berterusan dalam membuat aduan terhadap pengendali pengangkutan awam yang ingkar.
Beliau menggesa pengendali pengangkutan awam untuk mengutamakan pematuhan peraturan berbanding keuntungan, menekankan bahawa keselesaan dan keselamatan penumpang tidak boleh dikompromi.