KOTA BELUD: SK Tamu Darat bakal mendapat bangunan baru apabila Kementerian Pendidikan menyalurkan peruntukan RM30 juta untuk penggantian semula sekolah itu, demikian menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Semasa sidang media di Dewan SMK Narinang selepas lawatan kerjanya di SK Rangalau, SRA Rangalau, SK Tamu Darat dan SMK Narinang, Fadhlina memberitahu bahawa pelaksanaan kerja-kerja penggantian sekolah itu akan dimulakan segera tahun ini dan kini sedang dalam proses tender.
“Program ini bertujuan untuk melihat sendiri isu-isu yang dibangkitkan dalam parlimen, mahu pun isu-isu yang sedia ada di peringkat kawasan yang telah dibangkitkan di peringkat JPN negeri.
“Justeru kita turun ke bawah melihatnya sendiri. Untuk hari ini beberapa sekolah seperti SK Rangalau yang kita telah kenal pasti dan diberi kelulusan segera, dan akan dilaksanakan penyenggaraannya pada Ogos 2024 ini juga,” ujarnya.
Tambahnya, penyenggaraan sekolah di seluruh negara adalah proses yang sentiasa berlangsung dan mempunyai peruntukan khas, misalnya pada tahun lepas peruntukan tandas sekolah dan tahun ini peruntukan tandas untuk SBK (Sekolah Bantuan Kerajaan)
“Bagaimanapun, peruntukan tersebut mempunyai fasa-fasa tertentu, sebagaimana dalam belanjawan, kita ada penyenggaraan untuk makmal berjumlah RM100 juta.
Ini akan kita buat di seluruh negara. Bukan hanya di Sabah,” katanya.
Yang turut menyertai lawatan kerja tersebut ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Adun Kadamaian, Datuk Ewon Benedick; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Hj Adnan.