KENINGAU: Tiada unsur jenayah berkaitan lelaki berusia 30 tahun yang ditemui mati dalam bilik berkunci di bangunan Appolo Atrium, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Keningau Supritendan Yampil Anak Garai berkata, polis ada menerima makluman dan setelah siasatan dilakukan, tiada unsur jenayah yang berlaku.
Katanya, si mati adalah anak kepada anggota perkhidmatan awam di daerah ini dan dikatakan memang menghidap darah tinggi dan semput.
“Polis tidak membuka sebarang kertas siasatan berhubung kejadian ini,” kata Yampil ketika diminta mengulas kejadian itu.
Pada pagi Jumaat, mayat seorang lelaki berusia 30 tahun ditemui dalam bilik berkunci di bangunan Appolo Atrium di sini.
Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Keningau menerima panggilan pada jam 8.31 pagi hari yang sama bergegas di lokasi kejadian bersama jentera.
Apabila tiba, mereka mendapati pintu bilik itu berkunci dan berjaya membuka tombolnya menggunakan peralatan khas.
Mangsa seorang warga tempatan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.