KENINGAU: Ibu bapa atau ahli keluarga yang mempunyai anak yang belajar di Jordan diminta tidak bimbang kerana keadaan mereka masih terkawal.
Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin berkata, buat masa ini keadaan adalah selamat.
Katanya, krisis yang melanda dunia pada hari ini sedikit sebanyak menjejaskan keselamatan rakyat antarabangsa termasuk pelajar Malaysia yang berada di Jordan.
“Yang terkini apabila krisis meletus melibatkan Iran dan Israel dan kita tahu di beberapa buah negara berdekatan ramai pelajar yang berada di sana.
“Negara kita terdapat lebih 2,000 pelajar yang berada di Jordan,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah Hari Raya Aidilfitri Umno Keningau di rumah kediaman keluarga Ketua Bahagian Nik Nazri Haji Nik Zawawi di sini, baru-baru ini,
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, ada permintaan untuk mereka dibawa balik.
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Luar Negeri dan Wisma Putera akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
“Buat masa selakarang belum sampai ke tahap membawa mereka balik. Tetapi kita akan ‘update’ apa juga pandangan yang ada mengenai krisis yang berlaku di Timur Tengah.
“Insya Allah kita akan mengikut perkembangan krisis yang di Timur Tengah dan jika perlu kita akan bawa balik pelajar-pelajar kita di sana,” katanya.