Kota Kinabalu: Enam warga Vietnam didenda sejumlah RM1.3 juta kerana menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.
Mereka ialah kapten Nguyen Hoang Dep, 41, kru Huynh Ngic Cuoc, 29, Nguyen Van Oanh, 40, Vi Van Nao, 49, Nguyen Quoc Duong, 25, Lee Huu Cong, 32.
Kesemua mereka mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa Vietnam.
Juragan didenda RM800,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu, manakala anak kapal diperintahkan membayar RM100,000 atau penjara enam bulan setiap seorang.
Mereka ditahan jam 9.30 malam pada 18 April tahun ini di atas bot nelayan Vietnam tanpa nombor pendaftaran di Pulau Sibongor Laut kerana tidak mempunyai permit menangkap ikan di perairan Malaysia.
Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) Akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6 juta bagi juragan kapal dan RM600,000 bagi setiap anak kapal, jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasi, semua warga Vietnam itu yang tidak diwakili, meminta hukuman minimum, dengan mengatakan mereka mempunyai keluarga untuk dijaga dan mereka mahu pulang ke kampung halaman mereka secepat mungkin.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurun Nazifah Muhammad Iyen dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana ia merupakan kesalahan serius dan sangat berleluasa pada masa kini.
Mahkamah juga memerintahkan kapal dan semua peralatan yang dirampas dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.
Kesemua warga Vietnam itu diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.