KENINGAU: Pasukan Sundamai FC muncul juara pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka Lelaki 2024 selepas mengatasi Kapion FC melalui tendangan penalti 5-4.
Sebelum penentuan, kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada pertemuan akhir yang berlangsung di Padang Kampung Inadung pada Ahad.
Pasukan Sundamai FC membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 manakala Kapion FC selaku naib juara menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Pasukan Sanang FC di tempat ketiga dan pasukan Kalumpisan di tempat keempat, masing-masing menerima wang tunai RM500 dan RM300.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Sundamai FC dan sebanyak 24 pasukan mengambil bahagian.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Lolet Liakaim berkata, tujuan kejohanan tersebut adalah untuk mengeratkan perpaduan dan membudayakan sukan di kalangan para pemain.
Pertandingan tersebut dijalankan selama dua hari dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Lolet sendiri.