KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri terus komited untuk membasmi pendatang asing tanpa izin dan akan memastikan semua yang ditahan akan dihantar pulang.
Katanya, Kerajaan Negeri menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah merancang untuk menambah pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk mengetatkan lagi kawalan sempadan bagi menangani kemasukan pendatang tanpa izin.
Hajiji berkata empat pos kawalan akan dibina tahun ini, iaitu Pos Poigon Kalabakan, Pos Manalunan Sandakan, Pos Kuala Maruap Lahad Datu dan Pos Gabungan Sungai Haji Kuning Sebatik Tawau.
Enam lagi sedang menunggu kelulusan peruntukan. Ia adalah Pos Sungai Limau di Sebatik, Pos Bukit Keramat di Sebatik, Pos Long Pasia Sipitang, Pos Alutok Tenom, Pos Pensiangan Nabawan dan Pos Pulau Bankawan Kudat.
“Jabatan Imigresen Sabah juga giat dalam menjalankan operasi menahan dan menghantar pulang pendatang tanpa izin.
“Sehingga 15 April, sebanyak 2,603 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang. Pada 2023, seramai 8,678 pendatang tanpa izin dihantar pulang manakala pada 2022, jumlahnya ialah 5,943 orang.”
Katanya, dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah meluluskan aset-aset strategik baharu di ESSZone, termasuk pembinaan kompleks perumahan dan bangunan pentadbiran Batalion PGA ke-20 di Beluran, pembinaan tapak bot ronda Batalion PGA ke-15 di Sungai Seguntur, Sandakan serta pembangunan Projek Sistem Pemantauan Laut (Swasla) di Malawali, Kudat dan Sandakan dibawah APMM.
Sebagai tambahan, perolehan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) di laut terbuka dan dron di lokasi tertentu untuk pengesanan dan pemantauan keselamatan efektif di ESSZone dibawah Pelan 5 daripada RMK12 (2025) juga telah dihantar.
“Bagi menjamin keselamatan dan menguatkan keyakinan pengunjung di EssZone, Esscom mencadangkan untuk memperkenalkan sebuah aplikasi bernama ‘Friends of Sabah’, yang dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan dan ia boleh digunakan oleh pelancong luar dan tempatan,” katanya ketika penggulungan Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada sidang Dewan Undangan Negeri yang berakhir baru-baru ini di Kota Kinabalu.
Awal sebelum itu, Ketua Menteri itu berkata Kerajaan Negeri berpuas hati dengan Esscom sejak penubuhannya pada 2013 selaku pemimpin dan penyelaras keselamatan yang mengandungi Angkatan Tentera, PDRM dan Agensi Penguasa Maritim Malaysia (APMM).
“Agensi ini telah membendung pencerobohan elemen asing dan membantu menaikkan imej Sabah, terutamanya Pantai Timur, sebagai selamat untuk pelabur dan pelancong.
“Esscom juga membantu jabatan’agensi penguatkuasaan dan keselamatan seperti KPDN, Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen untuk membendung jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan rokok, barangan tanpa cukai kawalan/bersubsidi selain kemasukan pendatang asing tanpa izin,” tambahnya.
Beliau memberi jaminan yang keselamatan di sempadan maritim, kawasan pantai dan sungai, selain tanah sempadan, terutamanya di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone), berada dalam keadaan terkawal.
Hajiji turut memberitahu Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang insiden yang berlaku di Sabah baru-baru ini adalah satu cubaan rompakan yang terpencil dan dalam lima tahun terakhir ini, hanya beberapa kes yang berlaku.
“Esscom dan agensi keselamatan sedang menggiatkan operasi mengesan suspek yang dipercayai telah lari meninggalkan perairan kita.
Kesemua tiga suspek merupakan penjenayah dan berada dalam senarai dikehendaki Esscom.