Mon, 20 May 2024

HEADLINES :


Kaamatan kekal platform pupuk perpaduan
Published on: Thursday, May 09, 2024
By: R Gonzales
Text Size:

Kaamatan kekal platform pupuk perpaduan
HAJIJI dan tetamu jemputan menuai tangkai padi sebagai gimik pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran.
Tuaran: Pesta Kaamatan kekal sebagai platform terbaik bagi memupuk perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Justeru, beliau menyeru rakyat tanpa mengira kaum dan agama agar terus bersatu padu, saling menghormati dan tidak mudah dipengaruhi dengan anasir yang boleh memudaratkan perpaduan.

“Apa yang penting, sokongan rakyat kepada kerajaan tidak boleh goyah agar pembangunan boleh dilaksanakan di negeri ini,” katanya pada majlis Pesta Keaamatan Daerah Tuaran 2024 di Dewan Dewan Tun Hamdan, Tamparuli di sini, Rabu.

Sambutan pesta yang bermula jam 8 pagi sehingga jam 5 petang itu dihadiri kira-kira seramai 1,000 pengunjung.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memberi sokong kepada semua perayaan kebudayaan dan agama kerana keunikan budaya serta tradisi di Sabah merupakan aset penting kepada rakyat.

Dalam konteks pembangunan, Hajiji menggesa semua wakil rakyat supaya turun padang mendekati akar umbi di kawasan masing-masing sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. 

“Jangan tunggu masalah timbul, sebaliknya sentiasa dekat dengan rakyat. Begitu juga bagi semua pagawai daerah dan petugas di jabatan berkaitan perlu proaktif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka,” katanya.

Hajiji berkata tema Pesta Kaamatan tahun ini ‘Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan’ selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keterjaminan makanan Sabah, selain sebagai peringatan kepasa semua pihak agar terus berkerja keras meningkatkan hasil dan mengekalkan sumber makanan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman itu mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil pertanian khususnya Tahap Sara Diri (SSL) komoditi padi.

“Selain menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah, saya berharap mereka yang mempunyai tanah yang luas termasuk sawah terbiar akan memajukan tanah mereka memandangkan kerajaan negeri telah memberi insentif untuk berbuat demikian, terutama bagi penanaman padi tahun ini,” katanya.

Pada majlis tersebut, Hajiji turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran kepada lima penerima iaitu Anugerah Tokoh Nanas 2024 kepada Markus@Marcos Gamarong dari Kg Turongohon Kiulu, Anugerah Penanam Kelapa 2024 kepada Lawrence Dagu dari Kg Dungun Bawang Sarayoh, manakala Anugerah Tokoh Padi Bukit 2024 diserahkan kepada Robitoh Sominding.

Manakala dua anugerah lain iaitu Anugerah Tokoh Padi Sawah 2024 dan Anugerah Tokoh Padi Bukit 2024 masing-masing dianugerahkan kepada Foo Ah Nui@Ondui Ondiyang dari Kg Dungang, dan Suking Sombot dari Kg Kitapol Tamparuli. 

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Adun Tamparuli Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Madius Tangau. 

Sementara itu, upacara ‘Papasakai’ oleh tiga Tantagas Persatuan Suang Lotud Sabah, untuk meraikan semangat padi atau ‘Bambarayon’ menarik perhatian pengunjung pada sambutan tersebut.

Ia berkaitan kepercayaan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) mengenai kewujudan Bambarayon, yang dikatakan perlu dijaga dengan baik sebagai jaminan untuk menikmati hasil tuaian sepanjang tahun.

Tantagas atau dikenali Bobolian di daerah lain ialah bomoh Kadazandusun, yang kebanyakannya terdiri daripada wanita serta memiliki kepakaran memanggil semangat padi menerusi ritual khas, khususnya selepas padi selesai dituai.

Walaupun penanaman padi dilakukan mengikut kaedah pertanian moden, amalan lama yang menggunakan 100 peratus tenaga penduduk itu masih diamalkan segelintir masyarakat Kadazandusun di Sabah.

Kepercayaan itu juga adalah asas sambutan Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai yang diraikan masyarakat KDM di Sabah setiap Mei.

Sementara itu, pengunjung, Noor Aisyah Saman, 28, yang berasal dari Selangor, berkata dia kali pertama menyaksikan upacara ‘Papasakai’.

“Selepas berpindah ke Sabah mengikut suami bekerja dan menetap di Telipok sejak tahun lalu, ini adalah kali pertama saya menyaksikan upacara yang dilakukan untuk memanggil semangat padi menerusi ritual khas.

“Budaya di sini sangat unik, menarik apatah lagi sambutan Pesta Kaamatan sangat menyeronokkan apabila diraikan oleh pelbagai kaum dan agama dengan semangat toleransi yang tinggi,” ujarnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here