Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) menerima pembiayaan RM500,000 daripada Qhazanah Sabah Berhad (QSB) pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya merangkap sambutan Kaamatan anjuran QSB di Menara Kinabalu pada Jumaat.
Pengerusi QSB Datuk Dr Yusof Yakob menyampaikan cek kepada Presiden Safa Datuk Shahelmey Yahya, yang disaksikan oleh Timbalan Presiden Safa Datuk Awang Kadin Tang dan Pengurus Besar Sabah FC Mohd Joh Wid.
Shahelmey yang melahirkan rasa terima kasih kepada QSB atas sumbangan korporat sosial itu berkata pembiayaan itu amat signifikan untuk Safa dan juga Sabah FC dalam usaha mereka menguruskan tahun kewangan bagi 2023/2025.
Beliau sebelum ini menggesa lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menyokong pembangunan bola sepak di negeri ini.
Beliau berkata, sumbangan daripada mereka akan dapat memperoleh sedikit pelepasan cukai untuk syarikat itu sebagai usaha dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Untuk rekod, Jetama Sdn Bhd telah menggantikan Sawit Kinabalu sebagai penaja utama rasmi Sabah FC musim ini.
Selain itu, syarikat konsesi air itu juga akan membekalkan air minuman kepada Sabah FC sepanjang kempen mereka pada musim baharu.