SANDAKAN: Orang utan di Sabah turut merasai bahang akibat fenomena cuaca El Nino – dan salah seekor haiwan itu di Pusat Pembangunan Hutan Hujan (RDC) di Sepilok dirakam dalam video menyerbu peti sejuk untuk minuman sejuk di Kafe Keruing premis tersebut.
Digelar “Boogie”, orang utan dari Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok bersebelahan itu dilihat memilih paket minuman untuk menghilangkan dahaganya.
Telatah tetamu berbulu itu didokumentasikan oleh Welfred Yudot, seorang kakitangan di RDC, dan dikongsi di media sosial oleh timbalan konservator Jabatan Hutan Sabah Dr Arthur Chung. Ini bukan kali pertama orang utan itu melawat kafe tersebut, tetapi ia kali pertama ia menyasarkan peti sejuk itu untuk minuman.
Dr Chung berkata dalam lawatan sebelum ini, orang utan itu mengambil baki minuman di atas meja sebelum beredar.
Jabatan Hidupan Liar Sabah yang bertanggungjawab ke atas Pusat Orang Utan Sepilok dimaklumkan mengenai lawatan orang utan itu.
Netizen meluahkan rasa terhibur dan kagum dengan gelagat orang utan itu, berkata ia hanya mengambil apa yang diperlukan tanpa menimbulkan kekacauan.