Kota Kinabalu: Isu hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diangkat sebagai usul utama ketika Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Kali Ke-3 Sesi 2024, yang dijadualkan pada Jun depan, kata Timbalan Presiden Star Datuk Robert Tawik.
“Kita berbangga dengan hasil perjuangan Presiden Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, maka lebih ramai pemimpin dan ahli parti faham maksud sebenar hak-hak negeri Sabah yang termaktub dalam MA63.
“Justeru dalam setiap konvensyen atau persidangan, kita pasti membawa isu ini agar terus didengar oleh pihak berkenaan.
“Mengimbas kembali detik-detik perjuangan beliau, seharusnya menjadikan suatu teladan berguna kepada kepimpinan negeri Sabah termasuk rakyat untuk terus bersatu hati bagi mempastikan pembangunan dan kemajuan negeri terus maju.
Robert berkata, Jeffrey merupakan seorang pemimpin yang komited dan berani menggadai nyawa demi mempertahankan hak-hak negeri Sabah sehingga membawa dirinya ditahan selama 26 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.
Dalam masa sama, Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya, yakin kepimpinan negara di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini lebih terbuka untuk mendengar, seterusnya membuat pertimbangan sewajarnya mengenai hak-hak negeri Sabah.
Katanya, Kerajaan Persekutuan turut menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) yang dianggotai beberapa pemimpin dari negeri Sabah dan Sarawak sebagai pendekatan lebih praktikal dalam membincangkan isu-isu berkaitan tuntutan hak-hak negeri Sabah dalam MA63.