KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot, bersama tiga suspek, termasuk dua warga Filipina, yang cuba menyeludup empat ekor lembu dan empat ekor kambing di perairan di sini, Khamis.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, kira-kira jam 12.27 tengah malam, Pusat Operasi Zon Maritim Kudat menerima maklumat pengesanan curiga daripada Sistem Pengawasan Laut (Swasla) Sabah.
Maurice berkata, berdasarkan maklumat diterima, bot itu terletak di lebih kurang 12.3 batu nautika barat laut Tanjung Pulun Batu, Balambangan, di sini.
Katanya, bot ronda Maritim Kudat yang ketika itu melaksanakan rutin rondaan, segera diatur gerak untuk menyiasat.
“Kira-kira jam 1.50 pagi sebuah bot dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan di 2.8 batu nautika barat laut Tanjung Tiga Papan dan seterusnya ditahan untuk diperiksa.
“Tiga individu didapati berada di dalam bot berkenaan, salah seorang warga tempatan manakala dua lagi warga Filipina berumur antara 46 hingga 54 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, manakala seorang lagi memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.
“Pemeriksaan lanjut juga menemukan empat ekor kambing dan empat ekor lembu hidup yang dibawa tanpa permit sah daripada pihak berkuasa dipercayai untuk dijual,” katanya.
Menurut Maurice, suspek bersama bot dan barang rampasan ditahan untuk siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM35,000.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Haiwan 2015 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah2002 kerana tidak memiliki lesen Bot.