KOTA BELUD: Seorang lelaki ditahan manakala tiga laras senjata api buatan sendiri, termasuk enam peluru hidup, turut dirampas dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kelawat di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menjalankan operasi kira-kira jam 11 pagi.
Katanya, serbuan dibuat menerusi hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan pihak polis.
“Hasil serbuan, pihak polis menemui tiga laras senjata api buatan sendiri berserta enam butir peluru hidup. Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun iaitu pemilik rumah berkenaan turut ditahan,” katanya.
Menurutnya, tangkapan dan kesemua rampasan terbabit dibawa ke IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman tidak melebihi tujuh tahun penjara atau dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.”
Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan orang awam menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada pihak polis bagi bersama-sama membanteras jenayah setempat.
Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Pusat Kawalan IPD Kota Belud pada talian 0192188334.