BEAUFORT: Sebuah rumah musnah bersama kereta Perodua Kancil dan motosikal Yamaha dalam kebakaran di Kampung Luagan, di sini, pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort Muhammad Hasbullah Nenggok yang mengesahkan kejadian itu berkata ia berlaku kira-kira jam 12.53 tengah hari.
Anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian menaiki jentera bomba, ambulans dan pacuan empat roda.
Apabila tiba, api sudah pun merebak dan memusnahkan kereta serta motosikal itu.
“Anggota bomba menggunakan sumber air dari jentera bomba dan bekalan air terbuka dari sungai berhampiran menggunakan pam terapung untuk memadamkan kebakaran,” katanya.
Muhammad Hasbullah berkata, punca kejadian dan anggaran kerosakan masih disiasat.