KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas dipukul oleh rakan sendiri, dipercayai akibat salah faham di Kampung Gaur Podos di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kejadian awal disedari oleh orang awam sebelum bertindak menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud pada jam 2.13 pagi.
Katanya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian, pihak polis mendapati seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, pada jam 9.55 malam hari yang sama, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Belud menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.
“Siasatan turut mendapati selepas kejadian itu, suspek melarikan diri dan bersembunyi di kebun Kampung Gaur.
“Operasi mengesan suspek segera dijalankan di sekitar lokasi sebelum suspek berjaya diberkas di rumah keluarganya ketika ingin mendapatkan bekalan makanan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Shahrudin berkata, mangsa dan suspek menetap di kampung sama dan motif pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham yang telah lama berlaku.
“Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,”katanya.
Shahrudin juga menasihatkan orang awam supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang mengganggu siasatan.