TAWAU: Seorang juragan bot kargo tempatan, 32, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau kerana disyaki memuatkan barang kawalan tanpa permit sah di perairan daerah ini sekitar jam 3.40 petang, pada Isnin.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, suspek ditahan pasukan bot peronda Maritim Malaysia semasa Op Pluto Timur dan Op Tiris selepas berjaya memintas bot kargo tersebut yang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau itu, mendapati juragannya iaitu seorang lelaki tempatan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan dokumentasi mendapati suspek yang membawa muatan barang kawalan gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan dibawanya.
Antaranya, 500 kilogram (kg) beras tempatan, 500kg beras siam, 48kg gula pasir berpaket dan empat gelen minyak petrol anggaran 120 liter.
Shahrizan berkata, bot kargo bersama juragan tersebut dibawa ke Jeti Zon
Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim untuk siasatan lanjut.
“Kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras-Akta 522,”katanya yang menambah nilai rampasan termasuk muatan dan bot dianggarkan sekitar RM55, 000.00.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berkenaan cubaan menyeludup barangan tersebut ke negara jiran berikutan kuantiti muatan yang dibawa adalah kuantiti dagangan.
Katanya, pelaksanaan penguatkuasaan secara konsisten juga akan dijadikan medium kesedaran dan pendidikan kepada komuniti maritim agar lebih peka dengan kesalahan yang dilakukan dan tidak berulang lagi.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (Esszone).
Justeru, beliau mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat salah laku jenayah di sekitar perairan Tawau agar menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan MERS 999.