SANDAKAN: Lebih seratus orang penduduk Kampung Cenderamata, Batu Sapi hilang tempat tinggal apabila 21 rumah kayu musnah dalam kebakaran pada petang Khamis.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PKPgB Severinus Sainkui, pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 6.05 petang.
Pasukan itu berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke ratusan rumah kayu berhampiran dengan menggunakan tiga pancutan air.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.17 malam dan operasi ditamatkan pada jam 11.17 malam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata setakat ini sebanyak 19 keluarga merangkumi 111 mangsa menumpang sementara di Dewan PPR Batu Sapi.
Jelasnya, pihaknya akan menghulurkan sumbangan tunai kepada ketua isi rumah bagi meringankan serba sedikit beban mangsa kebakaran ini.
Difahamkan kejadian kebakaran melibatkan kampung atas air tersebut sudah dua kali berlaku, dengan kejadian pertama memusnahkan 90 buah rumah pada 2023.
Dalam kejadian lain, sebuah kapal nelayan yang sedang berlabuh di jeti berhampiran Pos Laju, Bandar Sandakan terbakar pada pagi Jumaat.
Severinus berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.33 pagi.
Severinus berkata, kapal nelayan berukuran 30 kaki x 15 kaki itu terbakar 70 peratus. Operasi pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan operasi tamat pada jam 11.10 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat sementara punca dan kos kerugian masih dalam siasatan.