LAHAD DATU: Kebakaran waktu pagi memusnahkan tiga buah rumah dua tingkat di Taman Warisan, Jalan Tengah Nipah, di sini, pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 7.02 pagi melalui MERS999.
Seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu dikejarkan ke tempat kejadian menaiki sebuah jentera bomba, kenderaan EMRS dan sebuah pacuan empat roda (4WD).
Sejurus tiba, pasukan yang diketuai Sumsoa itu mendapati tiga rumah yang terlibat dalam kejadian itu dengan satu daripadanya musnah, manakala dua lagi mengalami kerosakan 30 peratus.
“Api berjaya dikawal jam 8.03 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 9.20 pagi.
“Tiada kemalangan jiwa manakala punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat,” katanya.