BELURAN: Polis sedang memburu seorang suspek kes dadah yang melarikan diri dan merampas dadah dipercayai Syabu dianggar seberat 4.072 kg bernilai RM130,304 ketika membuat sekatan jalan raya di Sapi Nangoh, di sini, pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Beluran, Supt. Hasan Majid, berkata anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan sebuah Proton Saga kelabu bernombor pendaftaran SYR7763 yang dinaiki oleh dua orang lelaki iaitu pemandu dan penumpang hadapan.
Semasa pemeriksaan disaksikan oleh suspek penumpang, anggota PGA bertugas itu telah melihat satu plastik warna hitam di tempat simpanan tayar, tetapi, setelah plastik tersebut diambil, tiba-tiba pemandu kereta yang berada di dalam kereta memecut melarikan diri.
Suspek lari bernama Justin Vau Langat, 27, beralamat di Long Nahan, Baram, Sarawak, dan sedang giat diburu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Mohd Solahuddin Mohamad di nombor 0199810144 atau ibupejabat polis Beluran di talian 089511222 atau mana-mana balai polis yang terdekat.