PETALING JAYA: Seorang Adun Sabah berkata ramai penjawat awam bersikap jujur namun ada sebilangan yang tamak dan tiada integriti sehingga terjebak dalam rasuah.
Sehubungan itu, Adun Usukan Salleh Said Keruak menyokong kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki bahawa usaha membanteras jenayah itu tidak boleh dilakukan semata-mata dengan menaikkan gaji penjawat awam.
“Amalan rasuah membabitkan mereka yang tamak, tiada nilai diri dan integriti. Mereka ini hanya mewakili sebahagian kecil daripada penjawat awam.
“Majoriti mereka (penjawat awam) jujur dan juga takut kepada Tuhan, tetapi jika kita tidak membuang yang rosak maka ia mungkin merebak seperti barah,” kata bekas ketua menteri Sabah itu di Facebook.
Salleh yang juga bekas menteri komunikasi dan multimedia turut memuji pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Azam untuk mencegah rasuah demi kepentingan negara.
Anwar sejak menduduki kerusi perdana menteri pada November 2022 memfokuskan kepada beberapa aspek termasuk menekankan tata kelola baik dalam pentadbirannya dengan melawan rasuah.
Pada 7 Mei lalu, Anwar melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang memberi fokus terhadap keberkesan usaha pencegahan rasuah selain meningkatkan tadbir urus baik.
Semalam, Azam dilaporkan media berkata menaikkan gaji penjawat awam semata-mata tidak dapat membendung rasuah dan kerajaan perlu menangani isu lebih mendalam mewujudkan peluang jenayah itu.
“Jika sesetengah orang beranggapan (rasuah) disebabkan gaji rendah, nasihat saya kepada kerajaan ialah kekal berwaspada, jangan asyik naikkan gaji,” katanya dalam wawancara dengan sebuah media.
Penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13% yang berkuat kuasa Disember depan.