Tenom: Tiga orang, termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan, cedera ringan apabila Proton Iswara yang mereka naiki terjunam dari jambatan setinggi 15 kaki di Kampung Tukalilan di sini, malam Ahad.
Tiga mangsa itu dihantar ke Hospital Tenom oleh orang awam menggunakan kenderaan awam sebelum bomba tiba di tempat kejadian.
Balai Bomba dan Penyelamat Tenom menerima panggilan pada jam 8.21 malam dan tujuh anggota diketuai Komander Operasi Shahril Sulaiman bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera. Anggota polis turut berada di tempat kejadian.
Anggota bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada jam 9.48 malam.
Sementara itu, di Keningau, sebuah rumah separa kekal musnah dalam kebakaran yang berlaku di belakang kem Askar PPH pada petang Sabtu.
Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Keningau menerima panggilan pada jam 6.23 petang dan 13 anggota diketuai Komander Operasi, Leong Hoi Min bergegas ke lokasi bersama jentera.
Anggota bomba memadamkan api dengan aliran 200 kaki menggunakan sumber air dari jentera.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat pada jam 7.10 malam.