Kota Kinabalu: Dua lelaki tanpa dokumen dijatuhi hukuman penjara 12 bulan setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini kerana melakukan khianat dengan memotong kabel kepunyaan sebuah syarikat telekomunikasi.
Jaib Adli, 26, dan Aidil Dahlan, 33, mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie atas tuduhan secara bersama melakukan kesalahan itu pada 6 Jun tahun ini, jam 1.30 pagi, di tepi jalan Batu 10, di sini.
Pertuduhan di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Fakta kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan menyatakan bahawa kedua-dua mereka, yang dilihat memotong kabel Telekom Malaysia, ditahan polis.
Polis yang melakukan serbuan menemukan 17 gulung kabel dan alat pemotong daripada mereka, kata pihak pendakwaan, sambil menambah kedua-duanya juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Tidak diwakili, kedua-duanya merayu hukuman ringan.
Mahkamah memerintahkan Jaib dan Aidil menjalani hukuman itu dari tarikh mereka ditangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas itu.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 47 tahun meminta dibicarakan atas kesalahan serupa.
Rosleh Salimin didakwa memotong kabel yang juga milik Telekom Malaysia jam 3.30 pagi, 14 Jun, di Lorong 24, pekan Manggatal 1.
Mahkamah menetapkan 25 Julai ini untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membebaskan tertuduh dengan ikat jamin sebanyak RM2,000 serta dua orang penjamin.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 20 tahun didakwa mencuri di kedai.
Muhd Arief Haiqal mengaku tidak bersalah mencuri satu tin Ghee pada 15 Jun, jam 1.03 petang, di Pasaraya Servay di 1Borneo Hypermall.
Dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 25 Julai untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membebaskan Arief dengan ikat jamin sebanyak RM2,000 serta dua orang penjamin.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Al-Hakim Abdul Razak dan Inspektor Suzie S. K melakukan pendakwaan.